DATO' MAHFUZ RASMI MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PAS JERANTUT



Alhamdulillah, PAS Kawasan Jerantut telah selamat mengadakan mesyuarat agung tahunannya kali ke 23 pada 3.4.2010. Ianya telah dirasmikan oleh YB Dato’ Mahfuz Umar, Naib Presiden PAS. Walau bagaimanapun, perasmian Dato’ Mahfuz lebih bersifat perasmian penutup kerana ucapan perasmiannya dibuat di akhir mesyuarat iaitu sekitar jam 12.00 tengahari. Majlis perasmian turut dihadiri oleh Sdr. Balasubramanium, Wakil PKR dan wakil DAP.

Sejak tahun 2009 lagi PAS Jerantut telah membuat sedikit perubahan di mana perasmi akan datang berucap sekitar jam 12.00 tengahari. Hal yang sama berlaku pada tahun lepas di mana mesyuarat telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pada waktu yang sama.



Menurut YDP PAS Jerantut, Dr. Hamzah Jaaffar semasa berucap di pembukaan mesyuarat, perubahan tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada YDP bagi pihak AJK PAS Kawasan Jerantut, untuk menjelaskan aktiviti dan program yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang sessi 2009-2010. YDP bukan lagi hanya sekadar berucap sekitar 10-15 minit untuk mengalu-alukan kedatangan perasmi dan perwakilan tetapi ia berucap menyentuh perjalanan parti sepanjang sessi serta apa yang bakal dilaksanakan pada sessi akan datang.

Dalam ucapannya, beliau telah menyenaraikan beberapa aktiviti dan program besar yang telah berlaku dalam PAS Jerantut selama tempoh sati tahun. Antaranya ialah :

1. Konvensyen Tarbiyah PAS Pahang yang dihadiri oleh Presiden dan telah di adakan di Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS), Jerantut.

2. Program tetap Kuliah Petang Isnin sehingga Isyak. (Gambar lihat di sini)

3. Ijtima’ Tarbawi setiap bulan bagi setiap DUN

4. Program ‘Syiling Untuk Akhiratku’

5. Konvensyen Peneroka Felda Kebangsaan anjuran PKR Pahang pada 20.2.2010 yang telah menghimpunkan lebih kurang 900 peneroka dari seluruh Negara di mana di sebelah malamnya diadakan ceramah, melibatkan beberapa tokoh politik tanahair iaitu :

- Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR)

- Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden PAS)

- Dato’ Seri Chua Jui Meng (Bekas Menteri Kesihatan)

- Dato’ Zaid Ibrahim (Bekas Menteri Di Jab. Perdana Menteri)

6.Program Lawatan Presiden Ke Pahang Pada 27.2.2010 di KIAS.
Bergambar kenangan bersama Presiden

7. Pesta Ponggal Pada 17.1.2010 yang diadakan di KIAS.

Gambar sewaktu pesta ponggal

8. Program Mengedar Kad Raya Tahun Baru Cina pada 10.2.2010 bersama PKR & DAP Serta Lawatan Ke Gereja Jerantut


Gambar ketika mengedar kad Tahun Baru Cina dan
lawatan ke gereja Jerantut

Di akhir ucapan, Dr. Hamzah telah menegaskan bahawa perlunya bekerja mengikut keutamaan bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Lantaran hasil kerja mengikut keutamaan itulah maka pada Tahun 2008, PAS Jerantut telah melakar sejarahnya apabila berjaya menyiapkan KIAS yang boleh diguna pakai oleh PAS Kawasan dan juga PAS Pahang serta oleh parti kompenan PR yang lain bagi mengisi program yang besar seperti seminar dan konvensyen. Keutamaan pada tahun 2009 pula, PAS Jerantut memberi perhatian dalam pengurusan kewangan di mana pada Tahun 2009, PAS Jerantut mempunyai baki semasa tertinggi sejak penubuhannya iaitu sebanyak RM25,486.30. Manakala perbelanjaan pula telah berjaya dikurangkan kepada 82% daripada pendapatan. Untuk Tahun 2010, PAS Jerantut akan memberi keutamaan kepada pembangunan cawangan dan MTD sesuai dengan PRU 13 yang kian hampir.

Semasa sessi perbahasan terdapat beberapa cadangan dan persoalan telah dikemukakan. Setiap persoalan, dijelaskan dengan baik oleh YDP dalam sesi penggulungannya. Antara perkara yang dibangkitkan ialah apakah PAS masih memegang dengan prinsip perjuangan Islamnya apabila bekerjasama dengan PKR dan DAP?.

Dalam menjawab perkara tersebut, Dr. Hamzah telah membuat andaian bahawa PAS dianggap oleh kebanyakan ahli telah menggadaikan prinsip perjuangannya apabila tidak menyebut lagi perkataan ‘Negara Islam’, tidak menutup kedai arak dan judi di Kedah dan juga Selangor sedangkan kedua-dua negeri tersebut di perintah oleh PAS / PR.

Dalam hal ini Dr. Hamzah telah menjelaskan betapa perlunya ahli dan pemimpin PAS mendalami ilmu ‘Siasah Syari’iyyah’ bahkan beliau turut menekankan bahawa perlunya pendokong harakah supaya menghayati pendekatan ‘dakwah’ bukannya pendekatan ‘hukum’.

Beliau menjelaskan tidak semua perkara yang haram itu perlu diambil tindakan pantas dengan menutup atau menghapuskannya. Ada juga perkara yang nyata disebut di dalam al quran supaya dilaksanakannya tetapi ilmu Siasah Syari’yyah’ membenarkannya untuk tidak melaksanakannya. Beliau mengambil contoh bagaimana tanah rampasan perang di Iraq tidak dibahagikan kepada tentera Islam malah hanya diusahakan oleh penduduk tempatan dan hasilnya pula diberikan kepada tentera atas alasan tiada gunanya tanah tersebut diberikan kepada tentera yang asyik dengan peperangan, yang sudah tentu tiada masa untuk mengusahakan tanah tersebut.

Dalam konteks tindakan yang berkaitan dengan Islam di Kedah, beliau menasihatkan ahli agar berilah kepercayaan kepada Menteri Besar Kedah yang juga merupakan seorang ulama’ dan jangan sama sekali menyamakan keadaan di Kedah, Selangor dengan Kerajaan PAS di Kelantan.

Selain daripada itu, terdapat juga cadangan supaya semua kerusi dalam Parlimen Jerantut ditandingi oleh PAS memandangkan terdapat wakil rakyat yang telah melompat parti. Baca di sini jawapan detail dan ilmiah

Menyentuh cadangan tersebut, Dr. Hamzah telah menjawab dengan baik dan meyakinkan perwakilan di mana beliau telah membawa contoh apa yang telah berlaku di Terengganu satu ketika dahulu apabila Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang ekoran terdapat wakil rakyat PAS telah melompat parti pada awal penubuhan PAS tempohari. Contoh tersebut dijadikan hujah bahawa isu lompat parti adalah satu isu yang telah menjadi lumrah dalam parti politik dan ianya telah dilalui oleh PAS seawal penubuhannya. Maka perkara yang sama telah berlaku pula kepada rakan kongsi PAS iaitu PKR yang masih baru dari sudut usianya. Jawapan beliau sedikit sebanyak telah melegakan hati perwakilan.

Mesyuarat berakhir sekitar jam 4 petang.


Baca selanjutnya...

BERSATU DAN PERKEMASKAN PEMUAFAKATAN PAKATAN RAKYAT

Pada 20.3.2010 Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerantut telah selamat mengadakan mesyuarat agungnya bertempat di Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS). Mesyuarat telah dirasmikan oleh Dr. Hamzah Jaaffar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang merangkap YDP PAS Kawasan Jerantut. Turut hadir ialah Ustaz Taufik, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Abang Yusof, Pengarah DUN Tahan dan Sdr. Yunus selaku Pengarah DUN Damak.

Dalam ucapan perasmian, Dr. Hamzah telah menekankan beberapa perkara yang dapat disimpulkan sebagai ucapan yang dilontarkan untuk mengukuhkan jamaah dan pesiapan menghadapi pilihanraya.Dari sudut pengukuhan jamaah, beliau banyak menekankan mengenai ukhuwah dan keikhlasan dalam berjamaah. Perasaan kasih sayang perlu dibina, jangan sampai hati berpecah di kalangan anggota jamaah terutama antara organ yang ada dalam parti seperti Dewan Muslimat, Nisa’ Dewan Pemuda, Dewan Urusan Ulamak dan PAS Kawasan sendiri manakala keikhlasan pula akan melahirkan petugas yang bertugas sepanjang masa tanpa mengira mereka ada jawatan ataupun tidak.


Sebagai persiapan menghadapi pilihanraya, beliau banyak menekankan agar semua muslimat menghayati kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat yang telah diputuskan oleh pimpinan parti dan diperkukuhkan pula dalam muktamar PAS tempohari. Beliau mengajak muslimat supaya mempertonton akhlak yang terbaik bila berurusan dengan rakan dalam PR khususnya kerjasama ketika mengadakan program-program yang melibatkan rakan PR.

Beliau membawa contoh bagaimana PKR telah mengadakan Konvensyen Peneroka Kebangsaan di KIAS tempohari dengan belanja yang besar sedangnya kesannya akan pulang kepada PAS kerana kerusi di FELDA kebanyakannya ditandingi oleh PAS.

Beliau juga mengingatkan Muslimat bahawa kemungkinan berlaku rombakan kerusi khususnya di Jerantut dalam PRU13 nanti. Justeru itu, semua anggota parti hendaklah akur dengan keputusan pimpinan PAS nanti.
Dalam pada itu, Dr. Hamzah juga telah menyampaikan sijil penghargaan kepada bekas Ketua Muslimat sessi 2005-2007 yang terkenal dengan panggilan Kak Ha.
(Kak Ha sedang menerima sijil penghargaan dan cenderahati sebagai menghargai jasanya yang pernah mengetuai Dewan Muslimat PAS Jerantut)

Insya Allah, pada 28.3.2010 nanti, Dewan Pemuda PAS akan mengadakan mensyuarat agungnya di KIAS.


Baca selanjutnya...

LAWATAN KERJA YDP KE ULU TEMBELING



Pada 18.3.2010 PAS Kawasan Jerantut telah menghantar YDP dan Setiausahanya ke kawasan Ulu Tembeling bagi bertemu dengan penduduk yang berada di kawasan tersebut. Kawasan tersebut meliputi beberapa buah kampung tradisional yang terdiri daripada Kg. Pagi, Kg. Sat, Kg Bantal, Kg. Bukit Mat Darling dan Gusai. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah 2 orang AJK termasuk Ustaz Zakuan.


(Dr. Hamzah sedang menyampaikan sedikit bantuan berupa barang makanan kepada salah seorang dari penduduk Kg. Mat Darling selepas menyampaikan kuliah maghribnya)

Dalam lawatan tersebut, YDP Pas Kawasan Jerantut, Dr. Hamzah Jaaffar telah diberi penghormatan untuk menyampaikan kuliah maghribnya di Masjid Kg. Mat Darling. Turut hadir dalam kuliah tersebut ialah Ketua Kampung Kg. Mat Darling. Dalam kuliah, Dr. Hamzah hanya menekankan betapa perlunya kita memiliki sifat taqwa dalam diri masing-masing agar hidup manusia akan lebih aman dan damai samada di dunia maupun akhirat. Untuk mendapatkan sifat taqwa maka majlis-majlis ilmu samada kuliah atau ceramah agama hendaklah diperbanyakkan teutamanya di masjid. Kesan dari sifat taqwa akan menyebabkan anak isteri akan bahagia hidup mereka kerana mempunyai ayah dan suami yang bertanggungjawab yang terhasil dari sifat taqwa. Rakyat pula akan hidup aman damai kerana dijagai oleh pemimpin yang bertanggungjawab lantaran bertaqwa kepada Allah swt. Begitulah antara penekanan dalam kuliah yang disampaikan oleh Dr. Hamzah tanpa menyentuh secara langsung hal-hal yang berkaitan dengan politik. (YDP PAS Jerantut sedang menyampaikan kuliah maghrib yang dipengerusikan oleh Ustaz Zakuan, AJK PAS Jerantut)

Ketika ditanya mengenai lawatan tersebut, Dr. Hamzah menjelaskan bahawa lawatan kali ini adalah untuk meninjau sejauh mana Kerajaan UMNO/BN menunaikan janji mereka untuk membina jalanraya yang menghubungkan Kuala Tahan ke Ulu Tembeling. Beliau dan rakan-rakannya sengaja memilih melalui ‘jalan darat’ tidak ‘jalan air’.
(Jalan untuk laluan 'darat' ke Ulu Tembeling. Penduduknya menderita lebih 50 Tahun. Amat menyeksa badan jika melalui jalan ini yang memakan masa selama hampir 4 jam sedangkan jika jalanraya dibina,ianya hanya memerlukan masa 45 minit untuk sampai ke Ulu Tembeling)

Sepanjang melalui jalan tersebut, badan terasa sakit kerana jalannya berlopak-lopak dan banyak yang rosak kerana digunakan untuk mengeluarkan kayu balak yang terdapat di sekitar kawasan Ulu Tembelang.

‘Apa yang saya dapat dari lawatan ini ialah rupa-rupanya terdapat 4 buah jambatan kukuh yang terbina semasa PAS memenangi DUN Tahan pada Tahun 1999. Pada waktu itu, DUN Tahan diwakili oleh Allahyarham YB Abdul Malek Yusof. Pada zamannyalah, penduduk Ulu Tembeling mendapat kemudahan letrik sedangkan sebelum itu lebih 40 tahun lamanya, penduduk di sana tidak mendapat bekalan letrik dan tiada jambatan yang merentangi anak-anak sungai yang terdapat sepanjang laluan ‘darat’. Ini bermakna PAS telah berjaya membina 4 buah jambatan untuk rakyat di Ulu Tembeling sepanjang lebih kurang 4 tahun iaitu dari 1999-2004. Dengan sebab itu, saya yakin kalaulah DUN Tahan diwakili oleh wakil rakyat PAS, Insya Allah masalah jalan mungkin dapat diselesaikan lebih-lebih lagi kalau sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Negeri Pahang.’Ujar beliau ketika ditanya mengenai lawatan PAS Kawasan Jerantut.(Jambatan ini dibina hasil perjuangan Allahyarham YB Abd. Malek Yusof, Wakil rakyat PAS pada Tahun 19999-2004)

Untuk makluman, sehingga kini penduduk di Ulu Tembeling masih menggunakan jalan air sebagai jalan utama mereka sekiranya mereka ingin ke Kuala Tahan atau ke Bandar Jerantut. Namun ada kalanya jalan air amat menyeksakan mereka sekiranya air sungai didapati cetek seperti musim sekarang. Air yang cetek menyebabkan mereka terpaksa menolak perahu atau bot mereka apabila sampai di tempat yang airnya’cetek/tohor’.
(lihatlah sendiri air sungai ini yang terlalu amat cetek. Bayangkan betapa seksanya penduduk kerana mereka terpaksa menolak perahu mereka apabila bertembung dengan air yang cetek ini)

Semasa perjalanan pergi, Dr. Hamzah dan rombongan pacuan 4 rodanya telah singgah di Kg. Pagi dan Kg. Sat. Mereka pulang keesokan harinya iaitu Hari Jumaat. Dalam perjalanan pulang, mereka sempat singgah di Kg. Bantal dan bertemu dengan penduduk yang datang ke pekan sehari.
(Salah seorang AJK yang menyertai lawatan terpaksa menolak perahu dengan menggunakan kayu yang telah disediakan untuk menyeberang ke Kg. Bantal)

Penduduk di sana mengharapkan agar PAS handaklah memperbanyakkan lawatan ke Ulu Tembeling dan mereka meminta agar diadakan kuliah di masjid mereka. Bagi mereka, mereka tidak takut lagi untuk berdampingan dengan pemimpin PAS kerana mereka telah banyak kali ditipu oleh pemimpin UMNO/BN terutamanya dalam isu pembinaan jalanraya yang sehingga kini, lebih 50 tahun lamanya masih belum dimulakan pembinaannya. Yang telah dibina ialah papan tanda yang tidak bertarikh sebagai penyejuk hati.
(Lihat dan perhatikan betul-betul, papan tanda ini telah lama dipacak di permulaan jalan menuju ke Ulu Tembeling. Tetapi sayangnya tiada tarikh mula dan tiada pula tarikh bilakah ianya akan siap.Sekadar untuk menghiburkan hati penduduk. Insya Allah dekat pilihanraya ke 13 nanti, akan diletakkan jentolak dan sedikit tar untuk terus menghibur hati penduduk agar rakyat terus undi BN)
Ini jambatan khas untuk mengeluarkan balak sehingga menyusahkan
penduduk yang berulang alik melalui jalan air kerana jambatannya terlalu rendah.
Maklumlah untuk balak.

Mula-mula masuk ke jalan darat, anda akan lihat lautan balak tersusun rapi.
Sebab itulah selagi balak di Ulu Tembeling tak habis, selagi itulah jalanraya tidak akan dibina.
Maklumlah susah nak keluarkan balak.Nanti rosak pulak jalan tar.

Adui sedapnya masakan orang ulu ni. masak kampung katakan.
Ikan sungai asli, bukannya sangkar tau...!!

Bergambar kenangan dengan Ketua Kampung Kg. Mat Darling, berbaju kelabu.

Walaupun belum memerintah namun PAS Jerantut masih mampu menyampaikan
sumbangan seadanya untuk masjid dan diterima oleh Ketua Kampung Kg. Mat Darling

Rombongan kami bergambar kenangan selepas solat subuh. Kami tidur atas pasir
kerana air sungainya yang cetek.




Baca selanjutnya...

KIAS : LAWATAN KERJA PRESIDEN KE PAHANG


Alhamdulullah, Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Hadi Awang (TGHH) telah selamat membuat lawatan kerjanya ke Negeri Pahang pada 27.2.2010. DS TGHH dalam ucapannya menjelaskan beberapa perkara yang berkaitan dengan parti terutamanya mengenai kerjasama (Tahaluf As Siasiy) dalam Pakatan Rakyat yang perlu diperkukuhkan. TGHH juga menghuraikan hal yang berkaitan dengan Siasah Syar’iyyah yang digunakan dalam politik di Malaysia.



(Gambar di atas : Pimpinan PAS Pahang begambar kenangan bersama Presiden, PJ, Dato' Abd Halim dan Ust Idris Ahmad)




Apa yang menarik perhatian ialah kesanggupan pihak DAP Jerantut yang setia menunggu TGHH lebih kurang satu jam setengah semata-mata untuk bertemu dengan salah seorang pimpinan PR. Sepatutnya rombongan DAP itu, turut disertai oleh Pengerusi Gereja Jerantut namun beliau yang telah berada di Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS) Jerantut terpaksa pulang kerana ada urusan yang tak dapat dielakkan. (Gambar kanan : Pimpinan DAP Jerantut turut mengambil kesempatan bergambar bersama pimpinan PAS Pusat dan PAS Pahang)


Kedatangan TGHH juga diambil kesempatan oleh wartawan yang bertanyakan tentang kenyataan MB Pahang yang menempelak pembangkang supaya jangan bermimpi untuk menawan Pahang.

Walaubagaimanapun TGHH terus menyindir kembali kenyataan itu dengan menyatakan bahawa PAS dan DAP telah bertapak dalam Dewan Undangan Negeri seramai 4 orang wakil rakyat manakala di Parlimen pula PKR telah menghantar 2 wakil rakyatnya dari Negeri Pahang. Semuga PR terus mara ke hadapan.

(Gambar kiri : Presiden sedang melayani pemberita dalam segmen sidang media selepas tamat program)


Baca selanjutnya...

MEMECAH KANTUNG UMNO DI JERANTUT

Konvensyen Peneroka FELDA Kebangsaan

Pada 20.2.2010, PKR Pahang telah menjadi tuan rumah kepada Konvensyen Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kompleks Imam Al Syafie' (KIAS), Temin, Jerantut. Seramai lebih kurang 900 orang peserta dari seluruh negara telah menghadiri konvensyen tersebut yang bermula dari jam 9 pagi - 5 petang. Peserta telah didedahkan sejarah dan tujuan penubuhan FELDA yang asalnya mahu membantu orang-orang Melayu. Namun matlamat dan tujuan penubuhan FELDA itu telah bertukar kepada menjadi 'mangsa' ketidakadilan Kerajaan BN di mana beberapa fakta berupa penipuan dan penyelewengan FELDA terhadap peneroka telah di dedahkan. (Gambar atas dari kanan : Kelihatan Dr. Hamzah, Dato' Tuan Ibrahim, DS Anwar dan Dato' Fauzi di atas pentas KIAS)


Kini peneroka hidup bagaimana dalam keadaan yang tidak aman kerana dibebani dengan hutang yang tak berpenghujung. 3 tokoh telah berucap dan membentangkan kerja kerjanya iaitu YB. Dr. Syed Husin Ali, Timbalan Presiden PKR, Sdr Mazlan Aliman, AJK PAS Pusat merangkap Presiden ANAK dan Peguam Wan Rahimi yang telah memenangi kes peneroka FELDA di Kemahang lawan FELDA. (Gambar kanan : DS Chua Jui Meng turut hadir bersama Dato' Zaid Ibrahim. Bawah : Peserta konvensyen memenuhi dewan KIAS)

Di sebelah malamnya pula, Dewan dan perkarangan KIAS penuh sesak dengan orang ramai yang dianggarkan lebih 8000 orang yang datang untuk mendengar ceramah dari tokoh-tokoh politik tanahair iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Dato' Fauzi Rahman, Pengerusi PKR Pahang, Dato Chua Jui Meng, Bekas Menteri Kesihatan dan Dato' Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
DS Anwar menegaskan bahawa masalah FELDA akan diberi perhatian olehnya bersama dengan Ahli Parlimen yang lain termasuk Dato' Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS.

Sementara itu, Dr. Hamzah Jaaffar mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak PKR Pahang yang memilih untuk mengadakan konvensyen di KIAS. Terima kasih yang tak terhingga juga kepada petugas-petugas dari PKR dan PAS yang bertungkus lumus membuat persiapan sebelum dan semasa konvensyen berlangsung.

(Gambar atas : Wakil DAP Cikgu Koh turut hadir di sebelah pagi dan malam. Gambar kanan : Suasana dalam dewan KIAS pada sebelah malam ketika sesi ceramah)


Dr. Hamzah merasakan dengan adanya konvensyen ini sedikit sebanyak dapat memecahkan pemikiran peneroka agar tidak terus tertipu dengan janji pemimpin BN. Beliau mengharapkan agar seluruh peneroka FELDA dapat berubah dengan memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang. Sekiranya peneroka FELDA berani membuat perubahan bermakna pecahlah sudah kantung UMNO selepas Petronas.

Maklumat dan fakta selanjutnya di sini dan di sini.

(Gambar kiri : Suasana di luar dewan di mana orang ramai mengambil masa yang lama untuk keluar dari perkarangan KIAS selepas tamatnya ceramah)


Baca selanjutnya...

Kesedihan Menyelubungi PAS Kawasan Jerantut ...


 Tanggal 18.2.2010, PAS Kawasan Jerantut berada dalam suasana cukup sedih dan hiba. Pada jam lebih kurang 5.05 petang, Saudara Yazib Sulong, Setiausaha Kerja PAS Kawasan Jerantut telah kembali ke rahmatullah untuk selama-lamanya.

Ya…sebagai manusia biasa, Islam tetap meraikan naluri setiap insan yang merasa sedih bila orang yang disayangi pergi buat selama-lamanya. Kenapa harus
bersedih. Bagi yang mengenali beliau, tentu soalan demikian tidak akan disuarakan.

(Dato' Tuan Ibrahim & Dr. Hamzah sedang solat jenazah. Turut serta Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nururida, Nik Dah (Bekas Ketua Muslimat Jerantut dan Ustazah Roswati, SU Muslimat PAS jerantut.)

Beliau bukan sahaja sebagai Setiausaha Kerja seperti kebanyakan orang lain tetapi adalah petugas PAS Kawasan Jerantut yang boleh dikategorikan sebagai petugas sepenuh masa walaupun hanya menerima bayaran saguhati bulanan yang tidak setimpal dengan kerjanya. Beliau jugalah petugas yang menyediakan masakan bila mana ada program resmi PAS di Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS) Temin, Jerantut termasuk program anjuran PAS Negeri Pahang.


Pendekata, bukan sahaja PAS Jerantut malah petugas PAS Pahang mungkin terasa kehilangannya lebih-lebih lagi kerana masakan yang disediakannya bila ada program PAS Peringkat Negeri, sentiasa menjadi sebutan orang ramai.


Sewaktu di Hospital Jerantut, YDP PAS Kawasan, Dr. Hamzah Jaaffar kelihatan sentiasa dalam keadaan sebak sehingga sewaktu membacakan doa sebelum dibawa pulang ke rumah allahyarham, beliau tidak dapat membacanya dengan suara yang baik lantaran terlalu sedih sehingga menitiskan airmata.

Dr. Hamzah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, menyatakan beliau merasa suatu kehilangan seorang yang amat penting bagi PAS Jeantut kerana allahyarham boleh dianggap sebagai petugas serba boleh di mana beliau bukan sahaja bertugas di pejabat sebagai Setiausaha Kerja tetapi beliau juga mengurus masakan terutamanya menyediakan masakan berbuka puasa setiap hari Isnin di KIAS. Kehilangannya bagaikan kehilangan 3 orang perugas PAS Kawasan Jerantut.

(Dr. Hamzah tidak dapat menahan perasaannya. Kelihatan Balasubramanium dan Kaum India yang lain turut bersama buat kali terakhir sebelum jenazah dikebumikan)


Kesedihan juga turut menyelubungi pimpoinan PAS Kawasan yang lain terutamanya Tuan Hj. Rauf, Penolong Setiausaha PAS Kawasan sehingga beliau terpaksa mengambil cuti selama sebulan disebabkan kerana hubungan beliau yang begitu rapat dengan allahyarham selama lebih 12 tahun.

Walau bagaimanapun, pemergiannya tetap dalam keadaan mulia kerana Allah swt menjemputnya dalam keadaan beliau berada dalam jamaah.

Lebih 300 orang telah datang menziarahi beliau sewaktu jenazahnya hendak disolat dan dikebumikan. Antara pimpinan yang hadir ialah Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Muslimat PAS Pusat, Saudara Roslan Zainal, Setiausaha Perhubungan PAS Pahang dan beberapa pimpinan PAS Pahang dan PAS Jerantut yang lain. Selain daripada itu, masyarakat Kaum India dan Tionghua juga turut serta menziarahi jenazahnya termasuk En. Balasubramanium, Pengerusi Kelab Penyokong PAS (Kaum India) Malaysia.
Semuga Allah swt menempati beliau di kalangan orang-orang yang soleh bersama para anbia’ dan siddiqin. Mudah-mudahan Allah swt merahmati beliau dan mendapat keampunan di sisiNya. PAS Kawasan Jerantut merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh keluarga allahyarham.Al Fatihah untuk beliau.







(Gambar atas: antara yang hadir sedang memerhati jenazah dinaikkan ke atas kenderaan untuk dikebumikan. Gambar bawah : Kelihatan Puan Hasnah, Ketua Muslimat PAS Jerantut, Ustaz Wahab, Bendahari dan Ustaz Taufik, Ketua Penerangan PAS Kawasan Jerantut)
Antara yang hadir lagi : Sdr. Roslan Zainal, SU Perhubungan PAS Pahang dan beberapa orang anggota polis yang sering berurusan dengan allahyarham.
Deretan kereta lebih kurang 1 KM di kiri kanan jalanraya
Ustazah Nuridah, Dr. Hamzah dan En. Bala
Ustazah Nuridah, Puan Hasnah & Ustazah Roswati
(Suasana selepas solat jenazah)


Baca selanjutnya...

BANTUAN SEGERA UNTUK KOMPLEKS IMAM AL SYAFIE'

Memandangkan Dato' Seri Anwar, Dato' Seri Haji Hadi
& Dato' Seri Wan Azizah akan datang ke Jerantut pada Bulan Feb.2010 ini maka PAS Kawasan Jerantut amat berterima kasih dan menghargai sebarang sumbangan sebagai persiapan menyambut kedatangan 3 pemimpin tersebut. Sila baca di bawah...


KATA-KATA ALUAN YDP PAS JERANTUT
(lihat gambar-gambar di bawah)


DR. HAMZAH JAAFFAR

Saya bagi pihak PAS Kawasan Jerantut dengan ini mohon rayuan daripada muslimin dan muslimat agar dapat kiranya meng'infaq' kepada PAS KAWASAN JERANTUT sekadar yang termampu untuk tujuan menyempurnakan pembinaan Kompleks Imam Al Syafie' (KIAS) khususnya sebagai persediaan Program Konvensyen Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 20.2.2010 dan Program Lawatan Presiden & Pimpinan PAS Pusat Ke Negeri Pahang pada 27.2.2010 nanti. Sempena 2 program besar itu maka KIAS akan menyambut 3 tokoh politik negara iaitu DS Anwar Ibrahim, DS Haji Abdul Hadi Awang dan Dato' Seri Wan Azizah.

Justeru itu, saya mendoakan agar Allah swt panjangkan umur penderma dalam ketaatan dan murahkan serta limpahkan rezekinya. Amin.

Akaun Bank Islam  06055010000818 atas nama PAS KAWASAN JERANTUT.

Email Dr. Hamzah Jaaffar :
alamhajar@yahoo.com.my

Blog Dr. Hamzah Jaaffar : http://
aksidakwah.blogspot.com



SELAMAT DATANG KE JERANTUT





KUNJUNGAN DATO' SERI ANWAR IBRAHIM, DATO' SERI HAJI ABDUL HADI AWANG & DATO' SERI WAN AZIZAH KE JERANTUT

Insya Allah, Kompleks Imam Al Syafie' (KIAS) yang terletak lebih kurang 6 km dari bandar Jerantut, akan menerima kedatangan 3 pemimpin besar dalam politik Malaysia sepanjang Bulan Febuari 2010 ini. Kedatangan 3 pemimpin ini adalah untuk 2 tujuan yang berlainan.

Dato' Seri Anwar Ibrahim akan datang ke Jerantut pada 20 Febuari 2010 untuk menyampaikan ceramahnya sempena Konvensyen Peneroka Kebangsaan yang akan diadakan di Kompleks Imam Al Syafie' (KIAS), Temin, Jerantut. Konvensyen ini dianjurkan oleh PKR dan dijangka akan dihadiri lebih kurang 1500 peneroka seluruh negara. Ianya akan dirasmikan oleh Dato' Seri Wan Azizah, Presiden PKR.

Saudara Mazlan Aliman, Presiden ANAK (Generasi Kedua Peneroka FELDA) / AJK PAS Pusat turut diundang untuk menyampaikan pembentangan kertas kerjanya dalam konvensyen tersebut.





Di sebelah malamnya pula, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ceramahnya bersama Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS bersama beberapa orang pimpinan PR yang lain.

Manakala pada 27 Febuari 2010 pula, KIAS akan dikunjungi oleh Presiden dan beberapa pimpinan PAS Pusat dalam program lawatan kerja Presiden ke Negeri Pahang.




KEPERLUAN BANTUAN SEGERA UNTUK PERSIAPAN KONVENSYEN

KOMPLEKS IMAM AL SYAFIE' (KIAS) adalah sebuah pusat tarbiyah dan aktiviti PAS Jerantut. Pada dasarnya KIAS telah siap dibina dengan kos sebanyak lebih kurang RM600,000.00 dan mempunyai kemudahan seperti berikut :


Pemandangan KIAS dari arah jalan Jerantut-Temerloh




Di sinilah tempat yang akan didirikan canopy yang memerlukan

kipas air/berwap demi keselesaan peserta konvensyen.

1. Dewan Besar 100 x 60 kaki




Dewan besar bahagian tengah




Dewan besar bahagian tepi sebelah kanan

2. Pejabat Pentadbiran




Pejabat pentadbiran di hujung dewan seminar


3. Bilik Mesyuarat



4. Pejabat Dewan Pemuda

5. Pejabat Dewan Muslimat

6. Bilik VIP




Bilik gerakan, Pej. Dewan Muslimat, Pej. Dewan Pemuda dan Bilik VIP
7. Dewan Seminar.




Dewan seminar di tingkat atas, sejajar dengan pejabat pentadbiran
8. Kedai Muslimat


9. Tempat Memasak


Semua bilik dan dewan di atas dilengkapi dengan hawa dingin kecuali bilik masak. KIAS juga menyediakan 11 bilik air untuk kemudahan ketika mengadakan program.

Alhamdulillah, sejak Tahun 2007, KIAS telah digunakan sepenuhnya dengan mengadakan program tetap setiap minggu pada Hari Isnin dari jam 6 petang - 9 malam. Program dipenuhi dengan kuliah pada jam 6 petang, berbuka puasa berjamaah, zikir munajat, tazkirah, taujihat dan solat hajat dan diakhiri dengan Solat Isya'.




Suasana setiap Hari Isnin. Jamaah sedang bersedia berbuka puasa.


Perkarangan KIAS dipenuhi kereta setiap Isnin bermula jam 6 petang - 9 malam


Selain daripada itu, KIAS menjadi tumpuan mengadakan program-program yang besar yang mana bukan sahaja digunakan oleh PAS Jerantut selaku pemiliknya bahkan ianya turut dimanfaatkan oleh PAS Pahang apabila mengadakan program yang melibatkan peserta yang ramai. KIAS sehingga kini mampu menampung seramai lebih kurang 800 orang peserta dalam satu masa.


Pimpinan PAS Pahang bergambar kenangan bersama Presiden

semasa Konvensyen Tarbiyah 2009


Sebahagian peserta Konvensyen Tarbiyah



Ijtimak Pilihanraya Ogos 2008 dirasmikan oleh Dato' Husam


Sebahagian peserta Ijtimak Pilihanraya


Namun pada 20 Febuari 2010 ini, KIAS akan menerima tetamu dari seluruh negara seramai lebih kurang 1500 orang. Jumlah ini memaksa PAS Jerantut menyediakan canopy di luar bangunan KIAS bagi menampung peserta yang pastinya akan melimpah keluar. Keadaan ini tentu tidak selesa kerana peserta akan berada dalam suasana yang agak panas.


Pemandangan dari arah depan pintu masuk KIAS ke arah jalanraya


Justeru itu, PAS Jerantut mengharapkan bantuan kewangan untuk membeli Kipas Air/Berwap yang akan dapat memberi keselesaan kepada peserta konvensyen.
Dalam masa yang sama, PAS Jerantut terpaksa mencari sumber kewangan bagi meng'upgrade'kan PA System serta memasang tiles/mozek di bahagian tepi bangunan.


Kawasan tepi sebelah kanan KIAS ini akan di 'tiles/mozek'kan untuk lebih bersih.

Keseluruhan dana yang diperlukan ialah lebih kurang RM35,000 dan dirumuskan seperti berikut :

1. 15 kipas air/berwap (anggaran RM1500 setiap satu) - RM22500.00

2. Simen dan tiles bahagian tepi bangunan - RM 7500.00

3. 'Upgrade' PA System - RM 5000.00

Akhirnya kami menyeru dan merayu agar dapat kiranya muslimin dan muslimat menghulurkan infaq kepada PAS KAWASAN JERANTUT bagi tujuan tersebut di atas. Infaq boleh disalurkan terus ke dalam Akaun Bank Islam No. Akaun 06055010000818 atas nama PAS KAWASAN JERANTUT.

Seandainya ...

.... terdapat seramai 700 orang menyumbang sebanyak RM50 seorang maka KIAS akan dapat menyediakan suasana yang agak selesa untuk peserta konvensyen.

.... terdapat lebihan sumbangan maka PAS Kawasan Jerantut akan gunakan lebihan sumbangan itu untuk melengkapkan pembangunan tambahan KIAS atau untuk aktiviti amal kebajikan.

Sesungguhnya, peneroka felda adalah penyelamat kepada nyawa UMNO/BN. Sebenarnya peneroka felda perlu disedarkan bahawa hidup mereka lebih sejahtera dan selesa jika berada di bawah Pakatan Rakyat. Semuga konvensyen ini dapat menyedarkan mereka sekaligus memecahkan kebuntuan PR.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi YDP PAS Kawasan Jerantut merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Sdr. Dr. Hamzah Jaaffar HP 019-3802737.

Sekian terima kasih.


Baca selanjutnya...