DATO' MAHFUZ RASMI MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PAS JERANTUT



Alhamdulillah, PAS Kawasan Jerantut telah selamat mengadakan mesyuarat agung tahunannya kali ke 23 pada 3.4.2010. Ianya telah dirasmikan oleh YB Dato’ Mahfuz Umar, Naib Presiden PAS. Walau bagaimanapun, perasmian Dato’ Mahfuz lebih bersifat perasmian penutup kerana ucapan perasmiannya dibuat di akhir mesyuarat iaitu sekitar jam 12.00 tengahari. Majlis perasmian turut dihadiri oleh Sdr. Balasubramanium, Wakil PKR dan wakil DAP.

Sejak tahun 2009 lagi PAS Jerantut telah membuat sedikit perubahan di mana perasmi akan datang berucap sekitar jam 12.00 tengahari. Hal yang sama berlaku pada tahun lepas di mana mesyuarat telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pada waktu yang sama.



Menurut YDP PAS Jerantut, Dr. Hamzah Jaaffar semasa berucap di pembukaan mesyuarat, perubahan tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada YDP bagi pihak AJK PAS Kawasan Jerantut, untuk menjelaskan aktiviti dan program yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang sessi 2009-2010. YDP bukan lagi hanya sekadar berucap sekitar 10-15 minit untuk mengalu-alukan kedatangan perasmi dan perwakilan tetapi ia berucap menyentuh perjalanan parti sepanjang sessi serta apa yang bakal dilaksanakan pada sessi akan datang.

Dalam ucapannya, beliau telah menyenaraikan beberapa aktiviti dan program besar yang telah berlaku dalam PAS Jerantut selama tempoh sati tahun. Antaranya ialah :

1. Konvensyen Tarbiyah PAS Pahang yang dihadiri oleh Presiden dan telah di adakan di Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS), Jerantut.

2. Program tetap Kuliah Petang Isnin sehingga Isyak. (Gambar lihat di sini)

3. Ijtima’ Tarbawi setiap bulan bagi setiap DUN

4. Program ‘Syiling Untuk Akhiratku’

5. Konvensyen Peneroka Felda Kebangsaan anjuran PKR Pahang pada 20.2.2010 yang telah menghimpunkan lebih kurang 900 peneroka dari seluruh Negara di mana di sebelah malamnya diadakan ceramah, melibatkan beberapa tokoh politik tanahair iaitu :

- Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR)

- Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden PAS)

- Dato’ Seri Chua Jui Meng (Bekas Menteri Kesihatan)

- Dato’ Zaid Ibrahim (Bekas Menteri Di Jab. Perdana Menteri)

6.Program Lawatan Presiden Ke Pahang Pada 27.2.2010 di KIAS.
Bergambar kenangan bersama Presiden

7. Pesta Ponggal Pada 17.1.2010 yang diadakan di KIAS.

Gambar sewaktu pesta ponggal

8. Program Mengedar Kad Raya Tahun Baru Cina pada 10.2.2010 bersama PKR & DAP Serta Lawatan Ke Gereja Jerantut


Gambar ketika mengedar kad Tahun Baru Cina dan
lawatan ke gereja Jerantut

Di akhir ucapan, Dr. Hamzah telah menegaskan bahawa perlunya bekerja mengikut keutamaan bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Lantaran hasil kerja mengikut keutamaan itulah maka pada Tahun 2008, PAS Jerantut telah melakar sejarahnya apabila berjaya menyiapkan KIAS yang boleh diguna pakai oleh PAS Kawasan dan juga PAS Pahang serta oleh parti kompenan PR yang lain bagi mengisi program yang besar seperti seminar dan konvensyen. Keutamaan pada tahun 2009 pula, PAS Jerantut memberi perhatian dalam pengurusan kewangan di mana pada Tahun 2009, PAS Jerantut mempunyai baki semasa tertinggi sejak penubuhannya iaitu sebanyak RM25,486.30. Manakala perbelanjaan pula telah berjaya dikurangkan kepada 82% daripada pendapatan. Untuk Tahun 2010, PAS Jerantut akan memberi keutamaan kepada pembangunan cawangan dan MTD sesuai dengan PRU 13 yang kian hampir.

Semasa sessi perbahasan terdapat beberapa cadangan dan persoalan telah dikemukakan. Setiap persoalan, dijelaskan dengan baik oleh YDP dalam sesi penggulungannya. Antara perkara yang dibangkitkan ialah apakah PAS masih memegang dengan prinsip perjuangan Islamnya apabila bekerjasama dengan PKR dan DAP?.

Dalam menjawab perkara tersebut, Dr. Hamzah telah membuat andaian bahawa PAS dianggap oleh kebanyakan ahli telah menggadaikan prinsip perjuangannya apabila tidak menyebut lagi perkataan ‘Negara Islam’, tidak menutup kedai arak dan judi di Kedah dan juga Selangor sedangkan kedua-dua negeri tersebut di perintah oleh PAS / PR.

Dalam hal ini Dr. Hamzah telah menjelaskan betapa perlunya ahli dan pemimpin PAS mendalami ilmu ‘Siasah Syari’iyyah’ bahkan beliau turut menekankan bahawa perlunya pendokong harakah supaya menghayati pendekatan ‘dakwah’ bukannya pendekatan ‘hukum’.

Beliau menjelaskan tidak semua perkara yang haram itu perlu diambil tindakan pantas dengan menutup atau menghapuskannya. Ada juga perkara yang nyata disebut di dalam al quran supaya dilaksanakannya tetapi ilmu Siasah Syari’yyah’ membenarkannya untuk tidak melaksanakannya. Beliau mengambil contoh bagaimana tanah rampasan perang di Iraq tidak dibahagikan kepada tentera Islam malah hanya diusahakan oleh penduduk tempatan dan hasilnya pula diberikan kepada tentera atas alasan tiada gunanya tanah tersebut diberikan kepada tentera yang asyik dengan peperangan, yang sudah tentu tiada masa untuk mengusahakan tanah tersebut.

Dalam konteks tindakan yang berkaitan dengan Islam di Kedah, beliau menasihatkan ahli agar berilah kepercayaan kepada Menteri Besar Kedah yang juga merupakan seorang ulama’ dan jangan sama sekali menyamakan keadaan di Kedah, Selangor dengan Kerajaan PAS di Kelantan.

Selain daripada itu, terdapat juga cadangan supaya semua kerusi dalam Parlimen Jerantut ditandingi oleh PAS memandangkan terdapat wakil rakyat yang telah melompat parti. Baca di sini jawapan detail dan ilmiah

Menyentuh cadangan tersebut, Dr. Hamzah telah menjawab dengan baik dan meyakinkan perwakilan di mana beliau telah membawa contoh apa yang telah berlaku di Terengganu satu ketika dahulu apabila Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang ekoran terdapat wakil rakyat PAS telah melompat parti pada awal penubuhan PAS tempohari. Contoh tersebut dijadikan hujah bahawa isu lompat parti adalah satu isu yang telah menjadi lumrah dalam parti politik dan ianya telah dilalui oleh PAS seawal penubuhannya. Maka perkara yang sama telah berlaku pula kepada rakan kongsi PAS iaitu PKR yang masih baru dari sudut usianya. Jawapan beliau sedikit sebanyak telah melegakan hati perwakilan.

Mesyuarat berakhir sekitar jam 4 petang.


Baca selanjutnya...